Kemaskini 24-25 Nov 2015
Semalam saya tidak mengemaskini blog ini. Cuma hari ini baru saya berkesempatan untuk mengemaskini blog ini.
Hari semalam (hari makan), berat saya sebelum saya start makan adalah 70 kg. Setelah sehari suntuk makan, berat naik mendadak kepada 73 kg. Memang tu la rutinnya kalau puasa selang sehari ni. Perbezaan berat antara hari berpuasa dan hari saya makan memang dalam 2-3 kg. Ini juga la yang membuatkan baju saya kadang-kadang ketat dan kadang-kadang longgar bila dipakai.
Semalam, saya mula makan sekitar 5 pagi! Satu benda yang saya perasan bila saya mula mengamalkan puasa selang sehari ini adalah saya menjadi seorang yang berpagi-pagian; maksudnya saya bangun awal pagi. Kadangkala seawal 4 pagi. Bagus jugak kot, mana la tau boleh istiqamah sembahyang malam.
Biasanya setelah 32 jam, saya tidaklah rasa begitu lapar, cuma rasa dahaga tu lebih. Biasanya saya akan mulakan dengan minum air. Ini penting, untuk menghidratkan kembali badan. Kemudian, saya mula dengan makan makanan yang senang hadam; dan baru selepas itu mula makan makanan yang berat.
Saya makan makanan yang berikut untuk sarapan :
- 2 biji pisang
- 8 biji kurma
- 1 pinggan oat
- 1 pinggan kacang panggang
Kemudian untuk makan tengah hari :
- 1 pinggan nasi campur (3 jenis sayur)
- 1 gelas air barli
Sewaktu makan tengah hari semalam, kawan-kawan sekerja ada bertanya kepada saya; saya ni vegetraian kah? Saya membalas, tidak. Pemakanan saya lebih banyak sayur kerana badan saya rasa lebih ringan bila mengambil sayur-sayuran. Kemudian, mereka berkata saya perlu mengambil daging kalau tidak saya akan menjadi lemah. Saya hanya tersenyum sahaja. Saya tahu, kalau struktur pemakanan saya adalah struktur pemakanan yang konvensional (yang berasaskan kepada nasi), memang saya akan jadi lemah. Tapi saya mengambil oat, kacang panggang, buah-buahan dan sayur-sayuran yang bernutrisi tinggi; sebab tu saya yakin saya masih kuat walaupun asas pemakanan saya adalah sayur-sayuran.
sewaktu saya kembali daripada kerja, saya terjumpa satu stall grilled lamb chop. Saya singgah dan membedal satu hidangan lamb chop sebelum pulang. Heh heh. Sedap. Kembali ke rumah, saya sambung makan malam dengan :
- 2 biji pisang
- 1 mangkuk nenas
- 2 ekor sardin
- ubi kayu rebus
Jika saya tidak mengambil makanan sebegini, saya rasa saya tidak mungkin mampu mengamalkan puasa selang sehari. Alhamdulillah, hari ini saya sambung berpuasa dan akan berbuka esok.
Jumpa lagi nanti
Comments
Post a Comment